Sirah Rasulullah SAW dan Pengalaman Menternak Kambing

Assalamualaikum Wrmbth,

Marilah sama-sama kita hayati dan renungkan Sirah nabi Muhammad SAW sempena Maulidur Rasul ini. Artikel ini saya petik dari Forum INI

Dalam usia dua belas tahun, bapa saudara Baginda - Abu Thalib, membawa bersama-samanya ke Negeri Syam (Syria). Ketika mereka sampai di suatu tempat yang dikenali dengan nama “Basra”, mereka telah bertemu dengan seorang paderi yang bernama Buhaira, seorang yang bijak mengenai Kitab Injil dan agama Nasrani. Beliau memerhatikan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam, kemudian bertanya kepada Abu Thalib.

Katanya: “Budak ini anak tuan hambakah?”

Lantas dijawab oleh Abu Thalib: “Kenapa tidak! Ya, budak ini anakku.” Oleh kerana Abu Thalib terlalu kasih dan sayang kepada Rasulullah sejak dahulu lagi, maka beliau menyebut-nyebut Baginda sebagai anaknya.

Kemudian Buhaira menegaskan: “Bapa budak ini tidak mungkin masih hidup.”

Abu Thalib menjawab: “Sebenarnya budak ini anak saudaraku, bapanya meninggal ketika ia masih dalam perut ibunya.”

Paderi tadi menambah: “Memang benar apa yang engkau ceritakan kerana segala-galanya tercatat dalam Injil, dan di sini ingin saya memberi nasihat iaitu supaya segeralah engkau membawanya pulang. Sebab kalaulah ternampak oleh orang-orang Yahudi, mereka akan mengancam nyawanya kerana anak saudaramu ini di masa muka nanti akan membawa suatu perkara besar dan agung.”

Maka Abu Thalib pun segeralah pulang ke Mekah bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam.

(1) Diringkaskan dari Sirah Ibnu Hisham: 1/180, dan diriwayatkan juga oleh Al-Tabari dalam Tarikh At-Tabari: 2/287, juga oleh Al-Baihaqi dalam As-Sunan, juga oleh Abu Na’im dalam Al-Hulliyah. Kedapatan sedikit kelainan dalam huraian masing-masing.

Selepas itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam mula memasuki gerbang kedewasaan dan keremajaan. Baginda mula bertungkus-lumus dan menyingsing lengan mencari rezeki halal, seharian menternak kambing. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam menceritakan:

“Dahulu pernah aku menternak kambing penduduk Makkah dengan upahnya beberapa Karat sahaja.“

Cuma Imam Tirmidzi saja yang menghuraikan riwayat ini secara panjang, mungkin beliau melalui sanad-sanad yang mudah difahami, dan beliau menyatakan: “Riwayat ini adalah Hadith Hasan Gharib, tidak kita ketahuinya melainkan dengan cara ini.”

Mengenai riwayat ini kata Abdul Rahman Bin Ghazwan dalam Al-Mizan: “Dalam riwayat ini ada beberapa perkara yang boleh ditolak. Malik telah menolak cerita dari Yunus Bin lshaq, bahawa di masa dalam perjalanan ke Syam bersama Abu Thalib, Nabi sudah hampir baligh.”

Kata Ibnu Saiyidun-Nas pula dalam Al Matan: “Ada sesuatu yang boleh ditolak.” (Rujuk” ‘Uyunul-Atsar” 1/43)

Tetapi yang menjadi ganjil ialah Syeikh Nasir al-Din Al-Albani yang berkata mengenai ini dalam Fiqhus-Sirah karangan Al-Ghazali: “Bahawa sanad-sanad riwayat ini adalah sahih Riwayat Al-Bukhari.”

Allah telah mengawal dan mengawasi zaman keremajaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam. Oleh itu Baginda tidak pernah menyeleweng seperti pemuda-pemuda lain. Dan berhubung dengan hal ini, Baginda sendiri telah menceritakan kepada kita mafhumnya:

“Aku tidak pernah teringat hendak melakukan sepertimana yang dilakukan oleh sebahagian besar orang-orang jahiliyyah, kecuali dua kali tetapi dielak dan dijauhkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta‘ala. Lepas itu aku tidak ingat lagi hinggalah aku diutuskan.

Di suatu ketika, aku sedang berternak dengan seorang pemuda lain di mana aku telah meminta beiau agar tolong melihatkan (menjaga) kambing ternakanku sementara aku hendak pergi melihat-lihat di kota Makkah. Pemuda itu sanggup menunaikan harapanku itu dan aku pun keluar sehingga akhirnya sampailah ke rumah pertama di Kota Makkah, dan aku mendengar permainan. Lantas aku pun bertanya apakah bunyi-bunyian itu. Orang memberitahuku bahawa itulah keramaian dan pesta. Aku pun duduk hendak mendengar, tetapi Tuhan (Allah) telah menulikan telingaku menyebabkan aku terlena dan aku terjaga semula bila sinaran cahaya matahari memancar ke mukaku. Aku pulang serta-merta menemui sahabatku tadi. Beliau bertanya bagaimana halnya dengan diriku semalam. Aku pun menceritakan apa yang telah sebenarnya berlaku.

Dan di suatu malam yang lain, sekali lagi aku meminta supaya dibenarkan aku keluar seperti dahulu tetapi sebaik sahaja aku sampai ke Makkah, terus berlaku perkara yang sama seperti dahulu ke atas diriku. Selepas itu aku tidak mencuba lagi.”

Riwayat Ibnul-Atsir, diriwayatkan juga oleh Al-Hakim daripada Ali Bin Abu Thalib, katanya: “Ini Hadith Sahih melalui riwayat Imam Muslim.” Juga diriwayatkan oleh Imam Thabrani dari cerita ‘Ammar Bin Yasir.

Pengajaran Dan Renungan

Cerita pertemuan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam dengan Buhaira semasa perjalanannya ke Negeri Syam bersama ayah saudara Baginda adalah satu-satunya hadith yang diriwayatkan oleh ramai ‘ulama’ Sirah. Hadith ini membuktikan kepada kita bahawa ahli kitab, iaitu orang Yahudi dan Nasrani, sudah pun mengetahui tentang pengutusan Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam melalui Kitab Taurah dan Injil, yang telah menceritakan satu-persatu tentang tanda-tanda dan kedatangannya.

Mengikut apa yang telah diperihalkan oleh ahli sirah, orang-orang Yahudi Madinah pernah menyebut tentang kedatangan Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam kepada puak ‘Aus dan Khazraj. Dan apabila dilahirkan sahaja mereka akan mengikuti dan beriman dengannya supaya dapat mereka berperang dan menghancurkan orang-orang ‘Aus dan Khazraj, seperti mana termusnahnya kaum ‘Ad dan Iram, kerana (pada waktu itu) Yahudi Madinah berselisih faham dan bermusuh-musuhan dengan dua puak ini.

Namun demikian, setelah datangnya Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam, mereka enggan pula beriman denganNya. Kesemua ini diterangkan oleh Allah di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan setelah datang kepada mereka Al-Quran dari Allah yang membenarkan apa yang ada pada mereka, padahal sebelumnya mereka biasa memohon (kedatangan Nabi) untuk mendapat kemenangan atas orang-orang kafir, maka setelah datang kepada mereka apa yang telah mereka ketahui, mereka lalu ingkar kepadanya. Maka laknat Allah ke atas orang-orang yang ingkar itu.” (Al-Baqarah: 89)

Al-Qurtubi menceritakan bahawa Sayyidina ‘Umar Radhiyallahu ‘anhu bertanya kepada ‘Abdullah bin Salam, seorang paderi Yahudi yang telah memeluk Islam, semasa diturunkan ayat yang bermaksud:

“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri Al-Kitab (Taurat dan Injil) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui.” (Al-Baqarah: 146)

Kata Saiyyidina ‘Umar: “Tidakkah kamu mengetahui Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam itu sepertimana kamu mengetahui anak-anak sendiri?”

Jawab Abdullah; “Ya memang begitu, malah lebih daripada itu. Allah telah mengutus pembawa amanahNya dari langit untuk disampaikan kepada pembawa amanahNya di muka bumi ini. Segala sifat-sifat Rasulullah itu aku mengetahui lebih terperinci, sedangkan pengetahuan mengenai diri anak-anakku tidak aku tahu sepenuhnya.”

Salman Al-Farisi Radhiyallahu ‘anhu, seorang sahabat yang terkenal, telah memeluk Islam kerana beliau mengetahui sifat-sifat dan kedatangan Rasulullah itu terlebih dahulu, kerana semuanya tersirat dalam Injil dan diperkatakan oleh paderi-paderi.

Segala-galanya ini tidaklah menunjukkan kepada kita bahawa kesemua ahli kitab percayakan segala-galanya ini. Pada hakikatnya ia adalah sebaliknya, sebab kitab-kitab Injil yang mereka baca sekarang sudah tidak langsung menyebut tentang Nabi Muhammad dan sifat-sifatnya, kerana tokok tambah dan tukar ganti sering dilakukan ke atas kitab ini oleh pihak paderi dan gereja. Perkara ini telahpun ditegaskan di dalam Al-Qur’an Al-Karim yang bermaksud:

“Dan di antara mereka ada yang buta huruf, tidak mengetahui Al-Kitab (Taurat), kecuali dongengan bohong belaka dan mereka hanya menduga-duga. Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis Al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakannya: ‘Ini dari Allah’, (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka kecelakaan besarlah bagi mereka, akibat dari apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan besarlah bagi mereka, akibat dari apa yang mereka kerjakan.” (Al-Baqarah: 78-79)

Berkenaan dengan pekerjaan Rasulullah menternak kambing untuk mencari rezeki yang halal, dan mengenai limpahan kurnia Allah kepada keluarga Halimah Al-Sa’diyyah semasa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam tumpang tinggal bersama-sama mereka telah menampakkan secara jelas kepada kita tentang kerja-kerja dan usaha-usaha yang diredhai dan dipinta oleh Allah dan hamba-hambaNya yang salih di dunia ini. Ya, memang senang bagi Tuhan memewahkan penghidupan Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam tanpa mengeluar keringat pun, dan tidak pula payah berternak kambing.

Suatu hikmat Ilahi telah menunjukkan kepada kita bahawa sebaik-baik harta ialah hasil dan perusahaan sendiri demi kebaikan masyarakat dan manusia seluruhnya, dan seburuk-buruk kesenangan ialah kemewahan yang diperoleh tanpa kesusahan, yang langsung tidak memberi sebarang sumbangan kepada masyarakat.

Seorang penda’wah tidak mencerminkan suatu nilai pun sekiranya penghidupan sehariannya bergantung kepada pemberian dan sedekah selepas berda’wah. Sebaik-baik jalan kepada penda’wah ialah berdikari dan bergantung kepada sumber kewangan dan perusahaan sendiri tanpa menadah tangan meminta dari manusia lain. Ini supaya tidak seorang pun terasa lebih bangga dengan pemberiannya, mengakibatkan pemberi itu tidak menghiraukan suruhan dan larangan yang akan dikenakan ke atasnya nanti.

Walaupun semua ini tidak terlintas dalam fikiran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam, kerana Baginda tidak mengetahui yang Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah memilihnya sebagai utusan dan penda’wah Islamiyyah. Garis-garis kasar penghidupan Rasulullah sebagai seorang Rasul ialah di antara apa yang disalurkan Tuhan ke dalam hikmatNya yang bertujuan supaya latar belakang penghidupan Nabi Muhammad tidak akan memberi kesan buruk atau memberi tindak balas yang negatif kepada pekerjaannya selepas diutus nanti.

Cerita ringkas tentang peliharaan Allah ke atas diri Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam dari bala durjana dan dugaan sejak kecil hingga dewasa membuktikan kepada kita dua faktor yang penting:

1. Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam tetap seorang manusia biasa yang mempunyai sifat-sifat dan naluri-naluri terdapat pada manusia lain. Ianya tetap sebagai seorang pemuda yang penuh dengan panca aneka perasaan; gemarkan kepada kesenangan, hiburan, bersuka ria dan sebagainya.

2. Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah memelihara dan mema’sumkannya dari melakukan kekejian dan sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang penda’wah. Andaikata di sana tiada pemeliharaan dan pema’suman, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam tetap tidak akan menjunamkan dirinya ke dalam lubuk kekejian, kerana suara batin dan laungan hati sanubarinya memberi amaran serta isyarat sebagai seorang yang telah disediakan oleh takdir untuk menyempurnakan akhlak dan budi pekerti serta mendirikan asas syari’at Islamiyyah, dan tidak seharusnya melakukan perkara yang tidak senonoh serta keji.

Kedua-dua faktor yang disebutkan tadi menunjukkan kepada kita yang Rasulullah memang mendapat bimbingan Ilahi secara terus-menerus, sedangkan mereka yang di sekelilingnya tetap dibawa arus bi’ah (keadaan). Tidak hairanlah mengapa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam boleh melancarkan bahtera remajanya di tengah gelombang jahiliyyah yang panas dan serba bengis itu. Kesemuanya ini memperlihatkan kepada kita tanda-tanda kenabian yang disediakan demi untuk memikul bebanan dan tanggungjawab. Kenabian juga tidak kurang peranan buat membentuk asas pertama ke arah peribadi, kecenderungan jiwa, fikiran dan cara-cara menghadapi hidup.

Memang mudah bagi Tuhan untuk melahirkan Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam yang telah dibersihkan dan segala sifat-sifat yang meruntunnya ke arah pemuasan hawa nafsu, sehingga tidak terasa langsung olehnya sebarang desakan dan tekanan dari dalam supaya meninggalkan kambing ternakan kepada seorang kawannya, agar dapat Baginda pergi ke salah sebuah rumah di Makkah untuk mencari kumpulan yang bersuka ria dan berjaga hingga larut malam. Kalaulah Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam dilahirkan sebegini keadaannya, maka senanglah Baginda mengalami suatu pertentangan dan kekusutan jiwa. Penyakit seumpama ini contohnya terdapat di setiap bangsa dan masa.

Kalau sedemikian ini, maka peristiwa ini tidak lain melainkan peliharaan Ilahi yang memelihara dan membimbing kemudi kemahuan jiwanya. Hikmat Ilahi mahukan supaya apa yang dikatakan bimbingan Ilahi itu dapat ditunjukkan kepada manusia seluruhnya, agar dengannya mudah mereka beriman dan mengenepikan syak wasangka yang menyelubungi kepala dan hati mereka.

Allahu a’lam bisshawab.

Comments

Popular Posts