Produk kulit kambing terima sambutan hebat

Produk kulit kambing terima sambutan hebat

Oleh Suhana Roslan

Zainudin kaji pasaran bagi pelbagaikan rekaan supaya dapat dikembangkan ke peringkat antarabangsa

SAMBUTAN hebat yang diterima pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2007 yang diadakan baru-baru ini, membuatkan seorang penternak kambing mengambil keputusan untuk meluaskan perusahaan membuat barangan kulit daripada kulit kambing.

Pada pameran itu, sebanyak 80 peratus produk yang dihasilkan oleh Zainudin Zakaria bernilai RM20,000 yang dipamerkan pada pameran berkenaan ditempah dan dibeli pengunjung.


Zainudin dari Kampung Serating, Marang, berkata sambutan yang ditunjukkan itu membuktikan barangan kulit kambing yang sudah diproses boleh dikomersialkan, malah pelbagai reaksi dan cadangan positif diterima daripada pengunjung.

Beliau berkata, pada hari pertama beroperasi di tapak gerai itu, pengunjung yang singgah tidak mempercayai barangan yang dipamerkan diperbuat daripada kulit kambing dan selepas diberitahu kebanyakan mereka menunjukkan minat untuk mengetahui dengan lebih mendalam.

Katanya, antara produk yang dijual adalah beg tangan, kot, dompet, tali pinggang dan barangan cenderahati yang semuanya diperbuat daripada kulit kambing dan dijual antara RM100 hingga RM700.

"Saya tidak akan berlengah untuk membuka kedai di bandar ini selepas melihat sambutan sangat baik daripada pengunjung selain mereka juga menyarankan saya membuka kedai untuk kemudahan mereka mendapatkan produk kulit.

"Saya akan menguji pasaran di Terengganu sebelum mengambil keputusan membuka cawangan baru di Kuala Lumpur dalam usaha mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa," katanya ketika ditemui di HPPNK di Taman Awam Batu Burok, di sini, semalam.

Zainuddin berkata, idea mengusahakan perniagaan itu terlintas selepas melawat Indonesia dan beliau menghantar dua kakitangannya ke negara itu untuk mempelajari cara memproses kulit kambing untuk dihasilkan produk kulit.

"Tekstur kulit kambing ini sangat lembut selain tidak berbau tengik seperti kulit haiwan lain dan sangat mudah diawet dan dijahit untuk dijadikan produk seperti kot dan beg tangan.

"Sebagai persiapan untuk membuka kedai, saya menambah bilangan tukang jahit dan dihantar berkursus di Indonesia bagi memastikan barangan dihasilkan memenuhi keperluan pelanggan," katanya.

Sementara itu, pembeli beg tangan, Rubiah Ismail, 35, berkata, beliau membeli beg tangan dengan harga RM170 kerana gemar warna beg itu selain tekstur kulit yang sangat lembut.

Beliau berkata, perasaan bangga timbul selepas mengetahui pemilik syarikat itu adalah orang tempatan yang sangat kreatif dalam menghasilkan aneka produk selain mengetengahkan kulit kambing untuk dipelbagaikan kegunaannya.

"Barangan daripada kulit kambing ini baru di Terengganu dan saya tidak kisah membelinya walaupun harganya agak tinggi berbanding kulit haiwan lain.

"Saya rasa produk daripada kulit kambing mesti dikembangkan kerana percaya ramai yang akan menyukai tekstur kulit yang lembut selain barangan ini tidak berbau seperti kambing yang memang terkenal dengan bau busuk," katanya.

Rubiah berkata, beliau turut mencadangkan kepada pemilik syarikat itu supaya mempelbagaikan produk barangan kepada pakaian wanita kerana wanita dan fesyen tidak dapat dipisahkan.

"Mungkin mereka boleh menggunakan model terkenal untuk memperagakan barangan mereka dalam usaha mempromosikan produk dan bersaing dengan jenama sedia ada di pasaran.

"Apa yang penting adalah keistimewaan tekstur kulit kambing itu yang sangat lembut malah saya difahamkan produk ini juga mudah dicuci dan cepat kering," katanya.

Comments

Popular Posts