Isu logo halal tiada kesudahan

Isu logo halal tiada kesudahan

Oleh ROSALINDA MD.SAID
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Tidak keterlaluan jika dikatakan sebahagian besar produk makanan dan minuman di dapur rumah anda diragui status halalnya.

Hasil siasatan wartawan Unit Khas Utusan Malaysia di lima pasar raya besar sekitar ibu kota menemui, sejumlah 25 daripada lebih 50 barangan menggunakan logo halal tidak diiktiraf.

Tambah menyedihkan apabila kebanyakannya terdiri daripada barangan makanan yang digunakan setiap hari seperti mi segera, kicap, tuna dan rempahan sup selain makanan ringan.

Kesemua produk yang mempunyai logo ‘halal’ tersebut cuba dijejaki melalui laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) namun tiada maklumat mengenainya.

Pemeriksaan ini sekali gus membuktikan produk-produk itu tidak didaftarkan secara sah.

Berbeza dengan barangan sama daripada jenama lain yang diperiksa, maklumat seperti nama syarikat, jenama dan jenis barangan serta tarikh tamat tempoh sijil pengesahan halal dipaparkan.

Paling mengejutkan, enam produk yang telah diharamkan penggunaan logo halal oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkuatkuasa pada 5 Februari tahun lalu, masih kebal di pasaran.

Tindakan dalam memastikan kesejahteraan umat Islam benar-benar terpelihara dari aspek halal haram mengikut ajaran agama itu mungkin tiada impaknya apabila logo seperti Islamic Food and Research Council, SAS-H Consultancy, Perak Religious Officer Association, Halal Food Council S.E.A dan IFANCA International masih boleh dilihat digunakan pada hampir setiap jenis makanan.

Ini juga memudahkan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan mengaburi mata pelanggan menerusi logo halal masing-masing.

Tambah malang, hanya sebilangan kecil produk di pasar raya didapati menggunakan logo standard Jakim biarpun jabatan itu sudah menetapkan sejak Ogos 2009, ia hendaklah dicetak pada label produk berserta dengan nombor rujukan MS dan 10 digit terakhir nombor rujukan permohonan.

Statistik Bahagian Penguatkuasaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pula menyatakan sebanyak 60 peratus daripada 66 kes pelbagai kesalahan yang dikesan pada tahun 2010 adalah melibatkan pemalsuan logo halal Jakim

Comments

Popular Posts