TAK JUMPA APA YANG DICARI? ISI CARIAN DIBAWAH ATAU KLIK IKON DITEPI HUBUNGI 0192653791

Usahawan Melayu tak boleh bermanja lagi

>> Monday, October 3, 2011

“MACAM mana orang Melayu nak memerintah sendiri… nak buat sebatang jarum pun tak tahu.” Itu adalah satu ungkapan popular ditujukan kepada orang Melayu sendiri sebelum merdeka dulu. Ungkapan itu cuba untuk menidakkan kemampuan orang Melayu memerintah tanah air tercinta.
Terbukti memang kita mampu memerintah di negara sendiri. Lebih 50 tahun mentadbir, banyak kemajuan dicapai. Negara juga sudah berjaya menghantar angkasawan ke angkasa lepas untuk membuat penyelidikan dan pencapaian ini amat membanggakan rakyat.
Tetapi mengapa ‘kemampuan membuat sebatang jarum’ menjadi satu anologi menentukan kemampuan memerintah? Ia hanya satu anologi. Tetapi jika dikaitkan antara kemampuan memerintah dengan pembangunan ekonomi, sudah pasti ia berjalan seiring.
Kemampuan untuk membuat jarum adalah berkaitan dengan kemampuan dari sudut pembuatan dan perkilangan iaitu bidang perniagaan atau ekonomi. Seperti dimaklumkan, dunia keusahawanan bukanlah sesuatu yang sinonim dengan masyarakat Melayu. Jika dibandingkan dengan masyarakat Cina, jumlah orang Melayu yang terbabit dengan keusahawanan memang kurang.
Ini menjadikan usahawan Melayu setakat ini belum lagi dapat menandingi kemahiran dan kecekapan orang Cina dalam menjalankan perniagaan. Ini adalah hakikat yang harus terima.
Memang harus diakui bahawa banyak produk dikeluarkan orang Melayu mempunyai kualiti setanding dengan bangsa lain. Ini dari sudut perkilangan. Tetapi sesuatu yang masih lagi belum berubah ialah perniagaan berkaitan kemahiran seperti pembinaan, pertukangan, kerja besi, kerja paip dan pemasangan elektrik.
Penulis percaya ramai antara kita berhadapan dengan hasil kerja kurang memuaskan jika pendawaian elektrik contohnya dilakukan syarikat milik orang Melayu. Begitu juga apabila ingin membina rumah. Jika mengambil kontraktor Melayu bererti kita berhadapan risiko lambat siap, kontraktor lari atau hasil kerja teruk. Kerana itu satu ungkapan yang sinonim juga ialah apabila melihat hasil kerja yang kurang memuaskan, akan ada yang kata ‘ini buatan Melayu ni’.
Ramai rakan penulis terbabit dalam perniagaan yang lebih senang memilih perunding hiasan dalaman dan kontraktor Cina untuk mengubah suai premis perniagaan mereka. Begitu juga dengan mereka yang ingin mengubah suai rumah. Mereka tidak mahu mengambil risiko sekiranya hasil kerja yang mereka peroleh tidak mencapai kualiti seperti diinginkan.
Memang diakui ada antara mereka yang boleh menunjukkan hasil kerja berkualiti. Tetapi cerita mengenai masalah hasil kerja yang teruk di kalangan kontraktor Melayu masih kedengaran. Mengapa jadi begini? Adakah kerana orang Melayu mempunyai jaminan dan keutamaan untuk mendapatkan tender kerajaan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) menjadikan mereka kurang peka terhadap kualiti dan hasil kerja. Jadi apa pilihan usahawan Melayu pada masa akan datang? Adakah kita akan terus membiarkan persepsi ini membunuh perniagaan dan masa depan usahawan Melayu?
Penulis sebenarnya tertarik dengan komen peguam Sulaiman Abdullah dalam Forum Kontrak Sosial anjuran Majlis Peguam baru-baru ini. Beliau menyatakan bahawa sesuatu yang pelik apabila masyarakat Melayu sebagai masyarakat majoriti tetapi tindak-tanduk kita seperti masyarakat minoriti.
Ini mungkin berkaitan hak istimewa orang Melayu, tanah rizab Melayu dan kuota terutama dalam mendapatkan tender dan kontrak kerajaan. Biasanya perlindungan seperti ini adalah untuk melindungi masyarakat minoriti. Ini dilihat dari undang-undang yang diwujudkan oleh kerajaan Australia untuk melindungi masyarakat pribumi negara itu.
Begitu juga dengan undang-undang yang melindungi hak golongan Red Indian di Amerika Syarikat. Mengapa jadi begini? Adakah ini bermaksud kita masih lemah walaupun sudah lebih 50 tahun merdeka? Ini adalah satu cabaran kepada usahawan Melayu dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan supaya mereka sentiasa menambah ilmu dan kemahiran untuk bersaing.
Kadangkala masalah timbul bukan hanya dari sudut kemahiran tetapi sikap. Jika usahawan Melayu mengatakan bahawa mereka tidak mampu melakukan sebaik usahawan bangsa lain kerana mereka sudah lama dan mahir, mungkin boleh kita terima. Tetapi jika mereka mengambil masa terlalu lama untuk menyiapkan kerja mereka, ini adalah masalah sikap.
Usahawan Melayu harus membuang sikap negatif seperti malas, mengambil masa lama untuk menyiapkan kerja dan hasil kerja yang tidak sempurna. Usahawan yang melakukan kerja sambil lewa ini sebenarnya menyumbang kepada persepsi negatif terhadap keseluruhan usahawan Melayu. Untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai cerita begini mestilah tidak lagi kedengaran.
Semoga satu hari nanti bukan saja bangsa Melayu akan percaya kepada barangan buatan orang Melayu, malah orang bukan Melayu juga akan memilih barangan buatan Melayu kerana kualiti dan hasil kerja yang cemerlang.

blog comments powered by Disqus

About This Blog

Lorem Ipsum

Disclaimer (Penafian)


Sebarang pihak yang minat menerbitkan semula artikel didalam http://kambinghalal.blogspot.com hendaklah mendapat kebenaran bertulis (Emel atau telefon) dari Pemilik blog ini atau ahli lembaga pengarahnya sebelum meletakkannya di laman mereka.

Artikel yang ditulis di blog ini adalah berdasarkan keadaan semasa ia ditulis. Keadaan yang sama mungkin tidak berlaku selepas artikel diterbitkan.

Sebarang komen dari pembaca hendaklah disertai nama sebenar dan emel mereka. Pembaca yang tidak mematuhi perkara ini tidak akan diterbitkan. Sebarang Artikel yang diambil tanpa kebenaran dan tidak menyalin kembali pernyataan ini tidak mendapat izin dari kami tidak berhak membawa isu kemuka pengadilan dan tidak akan bertanggunjawab atas sebarang implikasi.

Wallahua'lam















  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP