Trust mampu kurangkan import daging lembu

Assalamu'alaikum Wrmbth,

Disini saya sertakan berita dari 10 tahun lepas, kesannya sepatutnya sudah kita lihat hari ini. Muhasabah diri untuk melihat dimana kita sekarang samada telahpun memenuhi perancangan atau sebaliknya. Mari majukan sektor perniagaan penternakan lembu kambing dan sebagainya. Fardhu Kifayah ni

Trust mampu kurangkan import daging lembu
Berita Harian, 18 Dis 2002


PENDANG, Selasa : Negara mampu mengurangkan import daging lembu sekali ganda jika program penternakan lembu menerusi skim Tranformasi Usahawan Sektor Ternakan (Trust) mencapai matlamat dalam tempoh beberapa tahun.

Menteri Pertanian, Datuk Effendi Norwawi, berkata ketika ini, negara mengimport 80 peratus keperluan daging kerana tidak ramai penternak mengusahakan ternakan lembu besar-besaran.

Katanya, jumlah daging tempatan masih kecil dan 61.5 peratus daripadanya disumbangkan penternak yang mengusahakannya secara kecil-kecilan.

“Menerusi skim baru ini, tumpuan diberikan kepada penternak secara kecil-kecilan supaya mengubah cara mereka agar dapat mengurangkan penggantungan terhadap daging import.

"Mungkin kita belum mampu memenuhi permintaan tempatan tetapi selepas dua atau tiga tahun skim ini, saya percaya 40 peratus pasaran daging negara menggunakan daging tempatan berbanding 20 peratus ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian skim Trust yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Pertanian, Datuk Ahmad Bashah Md Hanifah, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), Datuk Dr Hawari Hussein dan Pengarah JPH negeri, Dr Quaza Nizamuddin.

Projek perintis ternakan lembu secara komersial bernilai RM4.5 juta itu menggantikan sistem ternakan lembu pawah yang dimulakan 40 tahun lalu.

Dijangka 21,000 lembu boleh dihasilkan menerusi skim itu dengan penternak kecil mampu memperoleh pendapatan RM3,000 sebulan.

Effendi berkata, tumpuan diberikan kepada penternak kecil-kecilan supaya mengembangkan kegiatan secara komersial selain mengurangkan kos pengeluaran.

Mereka juga diberikan sekurang-kurangnya 10 lembu baka betina secara pinjaman tanpa faedah menerusi dua dana iaitu skim kredit pengeluaran makanan (maksimum RM200,000) dan Dana 3F (RM5 juta), yang perlu dibayar dalam tempoh tujuh tahun, selain diberikan tunjuk ajar JPH.

Effendi berkata, sasaran kementerian ialah setiap peserta memelihara 100 lembu selepas beberapa tahun.

"Kami mensasarkan sekurang-kurangnya 300 peserta skim ini di setiap negeri menjelang 2004," katanya sambil menambah, Kedah dipilih sebagai perintis program itu kerana ia mempunyai Pelan Induk Pertanian yang selaras Pelan Tindakan Kedah maju 2010,’’ katanya.

Sementara itu seorang peserta, Jamaludin Mat, 52, dari Kampung Kebun Empat Relong, di sini, berkata skim itu memberi peluang kepada penternak kecil memelihara lembu secara komersial.

"Menerusi skim ini, saya dapat menambahkan pengetahuan mengenai pengurusan ternakan lebih cekap selain meningkatkan pendapatan," katanya.

Ismail Wahab, 50, pula berkata skim itu memberi manfaat kepada penternak kecil terutama dalam meningkatkan hasil pendapatan.

Comments

Popular Posts