Sembelih lembu, derma RM5,000

Sembelih lembu, derma RM5,000
Oleh Mohd Fahmi Md Diah

2011/08/07

MELAKA: Semarak Ramadan Berita Harian - AmIslamic kembali lagi dan hari ini, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru dalam Parlimen Bukit Katil, di sini, menjadi persinggahan pertama di negara ini, bagi program yang bertujuan menyemarakkan lagi bulan mulia itu.

Berbanding beberapa tahun sebelumnya, penganjuran kali ini bakal menyaksikan sedikit kelainan apabila ia turut membabitkan penyembelihan seekor lembu dan sesi gotong royong memasak bersama penduduk, selain sumbangan RM5,000, beras, kurma, goodies, apron dan akhbar Berita Minggu.
Tetamu kehormat program ini adalah Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Baru, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, selain akan turut dihadiri Speaker DUN Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad.
Program peringkat negeri Melaka ini akan membabitkan tiga acara sekali gus iaitu kenduri rakyat bersama penduduk Taman Bahagia, Bukit Baru, pengagihan goodies di Bazar Ramadan Peringgit dan penyampaian sumbangan di kediaman rasmi Ketua Menteri di Seri Bendahara.

Acara di Taman Bahagia akan diadakan di perkarangan surau kawasan itu dan bakal dirasmikan Mohd Ali pada jam 11 pagi, manakala di Bazar Ramadan Peringgit membabitkan agihan kira-kira 200 goodies termasuk apron dan akhbar Berita Minggu dijadual bermula jam 4 petang.

Kemuncak acara adalah di Seri Bendahara apabila Ketua Menteri akan menyampaikan sumbangan duit raya berjumlah RM5,000, beras dan kurma kepada 50 anak yatim dan ibu tunggal dari kariah DUN Bukit Baru. Program ini diadakan serentak dengan majlis serupa anjuran UMNO Bahagian Bukit Katil.

Pengarah Hal Ehwal Awam Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali, berkata ini adalah tahun ketiga pihaknya bekerjasama dengan Berita Harian menganjurkan program itu dan kali ini secara besar-besaran selaras usaha membuktikan keprihatinan bank itu terhadap kemuliaan Ramadan.
Katanya, pada tahun ini, selain Melaka, program serupa akan turut diadakan di 13 lokasi lain seluruh negara dan akan membabitkan penyembelihan sekurang-kurangnya seekor lembu serta sumbangan cenderahati.

“Tahun ini kita bersetuju menyumbang sebanyak ekor 22 lembu dan menggunakan nama AmIslamic sebagai banner. Selain dapat mendekatkan diri dengan masyarakat, program ini adalah juga sebagai tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat negara ini," katanya.

Penyelaras acara ini di sini, merangkap Ketua Biro Berita Harian Melaka, Amirullah Andi Nur, berkata program di negeri ini mendapat kerjasama Pejabat Ketua Menteri, Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan DUN (Japerun) Bukit Baru dan UMNO Bahagian Bukit Katil.

“Dalam pertemuan bersama Ketua Menteri baru-baru ini, beliau menyatakan rasa gembira dan sekali gus menyifatkan ia satu penghormatan besar apabila Melaka dan DUN Bukit Baru dipilih sebagai penganjur pertama program itu di negara ini,” katanya.

Comments

Popular Posts