Semarak Ramadan: Gotong-royong lapah lembu

Semarak Ramadan: Gotong-royong lapah lembu, masak bukti tiada jurang pemisah antara generasi muda, tua

PORT DICKSON: Pembabitan pelajar Politeknik Port Dickson (PPD), bergotong royong bersama penduduk kampung menjayakan program Semarak Ramadan Berita Harian-AmIslamic Bank di Masjid Kariah Teluk Kemang di sini semalam, membuktikan tiada jurang pemisah antara generasi muda dan tua.

Pengurus Besar Jualan, Produk dan Pembangunan AmIslamic Bank Berhad, Datuk Zainal Abidin Mohamed, menyifatkan pembabitan pelajar berkenaan menunjukkan keutuhan sistem sosial kawasan berkenaan. “Selalunya hanya golongan tua bertungkus lumus menjayakan sesuatu program di masjid, tetapi kali ini, kita melihat orang muda (pelajar PPD) turut sama membantu dalam semua aspek. “Hubungan baik antara masjid dan golongan muda seperti ini yang kita mahu lihat dalam masyarakat kerana dalam konteks lebih besar, ia terjemahan kepada satu sistem sosial kukuh," katanya ketika gotong royong melapah lembu dan memasak bagi program Semarak Ramadan Berita Harian-AmIslamic Bank di sini, semalam.

Zainal dan Pengarah Hal Ehwal Awam Kumpulan Ambank, Syed Anuar Syed Ali dan Pengurus Wilayah Kawasan 3 Ambank (M) Berhad, Azman Tajuddin, turun padang seawal jam 9 pagi, bagi membantu penduduk kampung dan pelajar PPD bergotong royong.

Untuk program berkenaan, AmIslamic Bank menyumbang seekor lembu, RM3,000 bagi kos kenduri dan majlis berbuka puasa, 50 kampit beras dan kurma selain RM5,000 untuk disedekahkan kepada anak yatim dalam kariah berkenaan.

Program petang pula menyaksikan Zainal Abidin serta rombongannya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, diiringi Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali; Pengarang Berita, Berita Harian, Rasid Rahaman dan Ketua Biro Berita Harian Negeri Sembilan, Ziauddin Sharuddin melawat Bazar Ramadan di Batu 4 Jalan Pantai Port Dickson.

Mereka menyampaikan cenderamata iaitu apron, topi, baju-t, air mineral dan akhbar Berita Harian kepada kira-kira 200 peniaga.

Selepas itu, rombongan program Semarak Ramadan disertai Mohd Isa kembali ke Masjid Kariah Teluk Kemang untuk penyampaian sumbangan kepada 113 anak yatim, sebelum disusuli majlis berbuka puasa dihadiri kira-kira 600 tetamu.

Sementara itu, Mohd Isa yang gembira dengan penganjuran program berkenaan, melahirkan penghargaan kepada Berita Harian dan AmIslamic Bank dan meminta lebih ramai syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut sama menganjurkan program bersifat tanggungjawab sosial seperti itu.

Program seperti ini dapat merapatkan hubungan antara syarikat swasta dengan masyarakat, sekali gus dapat memberi faedah positif kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Penyelaras program Masjid Kariah Teluk Kemang, Fahmi Kamaruddin, berkata sambutan penduduk sekitar terhadap majlis berkenaan sangat menggalakkan.

"Walaupun kami sering menganjurkan program seumpama ini, namun kehadiran Ambank dan Berita Harian sangat dihargai," katanya.

LINK ASAL

Comments

Popular Posts