Mantai dipromosi seluruh negara

Mantai dipromosi seluruh negara



Mohamad Hasan melapah daging lembu ketika melawat gerai menjual daging segar pada Mantai Perdana 2011 di Seremban, semalam.



SEREMBAN 28 Ogos – Program Mantai Perdana Aidilfitri 2011 bukan sahaja akan dijadikan acara tahunan yang hanya diketahui masyarakat di negeri ini semata-mata, tetapi bakal dipromosikan ke seluruh negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, melihat pada keberkesanan dan maklum balas orang ramai yang begitu memberangsangkan, program itu akan dijadikan pusat sehenti bagi menemukan pembeli, penternak, peladang dan petani dalam urusan jual beli produk.
Malah katanya, langkah itu sebagai cara memudahkan pembeli untuk mendapatkan bekalan daging dan tani di satu tempat tanpa perlu ke bandar atau pasar menjelang musim perayaan pada kadar harga yang lebih murah.
‘‘Kita melihat program itu semakin berjaya setelah beberapa kali diadakan sebelum ini. Kita belajar daripada apa yang telah berlaku dan mahu menjadikan ia sebagai acara tahunan setiap kali menjelang perayaan Aidilfitri,” katanya kepada pemberita selepas melawat jualan daging dan tani di tapak bekas kem Paroi di sini, hari ini.
Turut sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat.
Program itu dianjurkan bersama kerajaan negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Lembaga Pelancongan negeri dan Jabatan Pertanian negeri melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Mohamad berkata, beliau dimaklumkan harga jualan yang lebih rendah di pasar berkenaan menyebabkan ia semakin dikenali seperti harga sekilo daging lembu dijual RM18 dan ayam pula RM7 sekilogram.
Menurutnya, pada Mantai Perdana itu, kerajaan menyediakan sebanyak 100 ekor lembu, 20 ekor kerbau, 50 ekor kambing, 2,000 ekor ayam daging, 2,000 ekor ayam telur daging, 2,000 ekor puyuh dan beberapa ekor itik dan rusa untuk dijual kepada orang ramai.

Comments

Popular Posts