Lapah Bangkai Lembu Tepi Jalan

Lapah bangkai lembu tepi jalan Link Asal
Oleh Ikhwan Muhammad
bhjb@bharian.com.my
2011/05/14

BANGKAI lembu  yang  dilapah ditinggalkan di tepi jalan  Kampung Air Tawar, Endau, semalam.
BANGKAI lembu yang dilapah ditinggalkan di tepi jalan Kampung Air Tawar, Endau, semalam.
Lelaki sempat ambil ekor, tulang rusuk haiwan mati kena langgar kereta

MERSING: Bangkai lembu yang terbiar akibat kemalangan jalan raya tidak terkecuali menjadi sasaran pencuri.
Itulah yang berlaku di Kampung Air Tawar, Sungai Bukit Tekedai, Endau, dekat sini apabila seorang lelaki bertindak melapah bangkai seekor lembu yang sebelum itu mati dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan kira-kira jam 10.30 malam kelmarin.
Lelaki terbabit yang memandu sebuah kenderaan pikap lalu di tempat kejadian kira-kira jam 1 pagi semalam dan terus melapah bangkai haiwan berkenaan yang sudah dialih ke tepi jalan sejurus dirempuh kereta dipandu Pang Choon Hoong, 21.

Perbuatannya bagaimanapun disedari penduduk kampung yang kemudian menghampiri lelaki berkenaan, tetapi dia pantas melarikan diri sambil membawa ekor dan tulang rusuk lembu yang sempat dipotong.

Kejadian itu mencetuskan tanda tanya di kalangan penduduk yang curiga dengan perbuatannya, sama ada organ lembu diambil itu mahu dimakan sendiri atau dijual.

“Penduduk yang keluar melihat kemalangan itu mendapati lembu berkenaan sudah mati sejurus dilanggar. Mungkin kerana terkejut dihampiri penduduk, lelaki itu hanya sempat melarikan ekor dan tulang rusuk haiwan berkenaan... mungkin mahu dibuat sup atau dijual,” kata seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan.
Sebelum itu, Pang yang berasal dari Tanjung Gemok dan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli barang di pekan ini dihantar ke Klinik Kesihatan Endau oleh orang ramai untuk rawatan.

Comments

Popular Posts