Kisah suka duka al Qaradawi

Kisah suka duka al Qaradawi

RAMADAN sering dianggap sebagai bulan yang paling indah dalam hidup seseorang umat Islam. Lebih-lebih lagi bagi dapat menyambutnya bersama ahli keluarga. Tentu juga lebih indah sekali jika dapat menyambutnya di Tanah Suci Mekah dan Madinah apabila berpeluang mengerjakan ibadat umrah di sana.
Tetapi bagi ulama besar ini Ramadan yang paling indah yang pernah beliau lalui dan alami adalah semasa ditahan dalam penjara!
"Akhirnya kami tiba di Ar Tur, Mesir (Kompleks Penjara) ketika hampir bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Aku beruntung kerana ditempatkan dalam sel nombor dua yang dipimpin oleh Sheikh Al Ghazali.
"Di sana aku sering menunaikan solat terawih di belakangnya sebanyak lapan rakaat. Setiap satu rakaat biasanya Sheikh membaca satu juz al-Quran dan khatam pada hari terakhir Ramadan.
"Inilah bulan Ramadan yang paling indah yang pernah aku rasakan seumur hidupku. Keindahan yang mewarnai hidup kami ketika berpuasa, solat, membaca al-Quran, berzikir dan aktiviti-aktiviti lain yang benar-benar menghidupkan rohani.
"Kami merasa berada dalam dakapan dan naungan al-Quran Lebih-lebih lagi kami berimamkan Sheikh Al Ghazali.
"Bacaan al-Quran yang beliau alunkan membawa kami terasa dekat kepada Allah, kata-katanya mengajar kami untuk lebih mengenal Allah dan akhlaknya mengingatkan kita pada akhirat."
Begitulah catatan Profesor Dr. Sheikh Yusuf Abdullah al Qaradawi yang berusia 85 tahun pada 9 September lalu.
Selama 85 tahun beliau menempuh hidup maka tentu sahaja sebagai ulama atau lebih tepat pejuang Islam, al Qaradawi adalah sebuah catatan sejarah yang sangat besar!
Begitupun dalam usia yang sebegini, beliau tetap gigih dan gagah berjuang. Benarlah sebagaimana yang beliau ucapkan semasa kehadirannya di negara ini suatu masa dahulu bahawa beliau tetap merasakan dirinya muda (kuat) apabila dikelilingi oleh kalangan ikhwan-ikhwan, as syabab atau pemuda-pemuda Islam yang gigih bersamanya untuk berjuang demi Islam.
Malah dalam peristiwa bersejarah tumbangnya rejim pemerintahan Presiden Mesir, Hosni Mubarak (Revolusi Rakyat Mesir) pada Februari lalu menyaksikan ulama ini muncul di tanah airnya sendiri sejak kali terakhirnya berbuat demikian pada tahun 1981 akibat tekanan daripada pihak pemerintah.
Di Medan Tahrir, al-Qaradawi mengimamkan solat Jumaat dan dalam khutbahnya beliau lantang bersuara: "Rakyat-rakyat Mesir pada hari ini umpama jin-jin yang akhirnya terlepas dari lampu-lampu yang selama ini memenjarakan mereka selama hampir 30 tahun."
Lalu kita sering terbaca pemikiran dan hujah-hujah al Qaradawi melalui ucapan, kenyataan dan dalam 120 buku yang beliau karang.
Namun beliau tidak memerlukan orang lain untuk menulis kisah perjuangannya sendiri, apabila beliau menulis buku yang tajuk asalnya Mudzakkirat Al Qaradhawi (Catatan Al Qaradhawi).
Beliau melagukan sendiri segala kisah suka duka, cabaran-tribulasi perjuangan dalam menegakkan risalah-risalah suci Allah sedari usia yang remaja sehingga beliau dibebaskan daripada penjara pada tahun 1956 dalam usia 30 tahun (sebelum itu keluar dan masuk penjara telah menjadi sebahagian daripada rutin dalam hidupnya).
Ia juga menandakan berakhirnya kekejaman warden penjara tentera Mesir, Hamzah Basyuni yang amat terkenal dalam sejarah, sering bertindak kejam terhadap tokoh-tokoh Islam termasuk Sayyid Qutb dan Zainab Al Ghazali. Antara kata-kata bongkak yang pernah dikeluarkannya: "Sekalipun Allah itu sendiri datang ke mari, aku akan mencampakkan-Nya ke dalam sel penjara."
Apabila tokoh ini tidak dapat dipisahkan dengan Pertubuhan Ikhwan Muslimin, maka segala-galanya ada diceritakan pengalaman al Qaradawi bersama pertubuhan gerakan Islam yang kadang kala dikaitkan dengan ekstremis. Walhal ia tidak lebih gerakan dakwah untuk menyebarkan Islam, mempertahankan Islam dan umatnya jika ada yang tertindas tanpa mengira sudut geografi dunia.
Sekali seseorang itu melibatkan dirinya dalam dunia dakwah maka, dirinya itu umpama Arab Badwi. Ia sebagaimana mengutip kata-kata tokoh gerakan Ikhwan Muslimin yang sangat tersohor, yang begitu menjadi idola kepada al Qaradawi iaitu Hassan Al Banna: "Kita ini seperti orang Arab nomad yang kerap berpindah randah dari satu tempat ke tempat yang lain."
Begitu pun pembaca akan lebih tersentuh hati apabila al Qaradawi berkongsi kisah bagaimana Hassan Banna yang 'mewakafkan' dirinya dalam dunia dakwah itu akhirnya mati dibunuh.
Penuh hikmah
Bulan Februari 1949 mencatatkan peristiwa duka itu yang disifatkan oleh beliau sebagai pembunuhan bertalu-talu terhadap Hassan Banna.
Pertama, beliau dibunuh dengan tembakan peluru senjata, kedua; musuh membunuhnya dengan membiarkannya mati tanpa sebarang pertolongan dan ketiga Hassan Banna mati dibunuh dengan melarang orang ramai mengiringi jenazahnya untuk dikebumikan.
Kematian pemimpin gerakan Islam yang masih kuat pengaruhnya sehingga kini disambut gembira oleh dunia Barat terutama Amerika Syarikat yang selama ini melihat Hassan Banna sebagai musuh yang digeruni dan ditakuti walaupun almarhum hanya bersenjatakan kata-katanya.
Sebaliknya, ia ditangisi oleh segenap umat Islam dan kematiannya menyebabkan lahirnya lebih ramai tokoh Ikhwan termasuk al Qaradawi sendiri.
Melalui buku ini, pembaca akan mengenali secara lebih dekat kisah-kisah peribadi para pemimpin dan pejuang tegar dalam Ikhwan dan begitu juga mereka yang begitu memusuhi Ikhwan.
Sarat dengan pelbagai pengajaran rakaman dan peristiwa sejarah umat Islam. Ia termasuk soal penindasan terhadap rakyat Palestin dan Islam secara global, semuanya ditulis dengan penuh hikmah oleh al Qaradawi.
Seharusnya buku ini segera dimiliki kerana al Qaradawi adalah satu-satunya ulama yang menempuh pelbagai zaman dan yang masih hidup. Justeru, perjuangannya perlu dihayati supaya saat beliau masih ada ini, beliau sempat mengecapi dan melihat kejayaan sebenar yang harus dicapai oleh umat Islam.

Comments

Popular Posts