Kenapa tolak teknologi berasas pengetahuan?

SAYA berpeluang bertemu beberapa orang usahawan yang mengalami pelbagai masalah dalam meneruskan perniagaan mereka. Usahawan yang pertama yang pernah saya ceritakan dulu tentang betapa susahnya mendapatkan pengiktirafan barangan dia dalam pasaran tempatan.
Untuk dia menjual produknya di luar negara dia perlu mengesahkan yang produknya diakui oleh pihak berkuasa di sini dan dijual di pasaran tempatan. Produk dia ialah perubatan dalam bidang biomed atau bioperubatan. Disebabkan ada produk-produknya yang baru, mereka yang membuat penilaian pun tidak tahu dan tidak mampu membuat penilaian yang wajar.
Dia merasa hairan kerana di mana-mana negara lain, pengeluar perubatan tempatan diberi keutamaan tetapi di negara kita semua pengeluar yang dibenarkan menjual dipasaran kita terdiri daripada syarikat asing – 14 kesemuanya. Jadi di pasaran tempatan, dia susah hendak menjual, keluar negara perlukan perakuan daripada pihak berkuasa tempatan. Di kedua-dua pasaran dia ‘terlekat.’
Minggu lepas dia terpaksa menutup kilang syarikatnya di Dungun kerana kewangan. Bank yang sudah meluluskan pinjamannya tidak melepaskan wang yang sepatutnya dilepaskan. Entah apa sebabnya. Sudahlah dilepaskan dalam jumlah sedikit demi sedikit kemudian ditahan pula.
Inilah tabiat bank yang kononnya ditubuhkan untuk membantu syarikat-syarikat kecil dan sederhana. Sesuatu perlu dilakukan kalau tujuan asal penubuhan bank ini ingin tercapai. Sesuatu yang drastik.
Usahawan kedua dalam bidang animasi. Syarikat yang terpilih untuk menjadi ikon dalam bidang animasi ini terpaksa bersaing dengan beberapa syarikat lain untuk dipilih bekerjasama dengan sebuah syarikat Jepun dalam bidang animasi.
Apabila persetujuan sudah tercapai, pihak Jepun datang ke sini untuk menandatangani memorandum perjanjian. Malangnya apabila sampai di pejabat agensi yang berkenaan dengan animasi, mereka diberitahu majlis menandatangani perjanjian itu ditangguhkan.
Masalahnya peruntukan untuk meneruskan projek tersebut tidak dinyatakan oleh pihak yang bertanggungjawab dalam kementerian berkaitan. Bukankah ini suatu perkara yang memalukan? Kedua-dua bidang ini adalah bidang yang ingin ditonjolkan dalam Model Ekonomi Baru tetapi nampaknya hasrat untuk memastikan bidang ini menjadi tunggak dalam model tersebut mungkin tidak akan tercapai.
Seorang lagi usahawan dalam bidang hotikultur terbabit dengan genetic manipulation pokok-pokok dan tanaman seperti pisang, orkid dan pokok-pokok herba yang mana teknologi yang digunakan mampu menjana beberapa generasi pokok daripada sekarang.
Misalnya untuk menjana lima atau 10 generasi kelapa sawit kita tidak payah menunggu bertahun-tahun untuk menghasilkannya. Ia boleh dilakukan dalam sekejap masa dalam makmal saja. Begitu juga dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan benih dan pembenihan. Mutu dan variasi dapat ditambah dan dipelbagaikan.
Usahawan ini menceritakan bagaimana di pameran hotikultur di Holland tidak terdapat langsung Malaysia diwakili tetapi Singapura dan Thailand turut serta sedangkan yang diperolehi Singapura datangnya daripada Malaysia. Langsung orang tak tahu pasal Malaysia. Apa kedutaan kita dan pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam mempromosikan negara kita buat, kita tak tahulah. Setiap kali ada pameran, negara kita tidak pernah diwakili.
Kita tidak boleh hairan dengan kebolehan Singapura yang tidak ada tanah boleh menempah nama dalam bidang-bidang pertanian kerana inilah bentuk ekonomi berlandaskan pengetahuan yang kita laung-laungkan.
Tidak perlu tanah, tidak perlu kolam di luar rumah untuk bela ikan. Di Taiwan ikan diternak dalam bangunan kilang dengan mutu air yang jauh lebih baik daripada yang terdapat di kolam bertanah yang kadang kala bercampur dengan pelbagai jenis kimia.
Kalau Singapura mendakwa pisang dan orkid hasil keluaran mereka, kita tidak boleh salahkannya kerana mereka pandai menggunakan pengetahuan untuk maju ke hadapan. Hari ini kalau orang bercakap pasal herba, orang menyangka kena ada tanah berekar-ekar baru boleh jual misalnya pokok pegaga. Hakikatnya teknologi hari ini boleh mengeluarkan intipati daripada pokok pegaga atau lain-lain herba untuk dijual atau digunakan.
Jadi apabila perlu, keluarkan saja intipati pegaga itu. Inilah bentuk teknologi berkaitan dengan pertanian hari ini sehinggakan tomato yang “kalis serangga” atau lain-lain tanaman boleh ditingkatkan hasil dan mutunya.
Hari ini kalau kita lihat sayur-sayuran yang dijual kepada kita tinggi kadar racun serangganya sehinggakan kita tidak sedar ini boleh mendatangkan penyakit seperti barah kepada kita. Peladang dan petani kita mesti mengubah sikap dan bergerak ke arah teknologi moden kalau ingin terus hidup. Kalau tidak, kita akan ketinggalan dan akhirnya terpaksa mengimport barang makanan.
Masa kini pun kita sudah mengimport makanan bernilai RM12 bilion setahun dan harga barangan yang kita import ini tertakluk kepada iklim tempat yang mengeksportnya. Kalau ada cuaca buruk, bawang misalnya akan naik harga gila-gila.
Begitu juga teknologi menangkap ikan yang masih menggunakan teknologi lama yang bukan saja rendah hasil tetapi ada masa-masanya membahayakan. Bot nelayan tidak dilengkapi dengan peralatan yang canggih seperti ultra sound ikan, tidak dilengkapi dengan peralatan amaran cuaca buruk dan akhir sekali tidak dilengkapi dengan peralatan keselamatan.
Itu sebabnya kadang-kadang nelayan kita termasuk dalam perairan negara jiran dengan tidak disedari kerana tidak mempunyai kelengkapan untuk tahu di mana mereka berada. Lanun juga menjadi-jadi masa kini dan nelayan ini terdedah dengan rompakan dan penculikan.
Selain daripada itu, ada juga yang mengambil jalan pintas dengan menjual minyak disel yang diberikan subsidi! Putaran kemiskinan ini tidak akan berakhir kalau kita tidak berganjak kepada suatu pendekatan baru yang berasaskan ilmu.
Selaras dengan usaha kerajaan untuk mengubah haluan ekonomi kepada yang berteraskan pengetahuan, pihak yang menyediakan pembiayaan seperti bank-bank dan institusi kewangan kita wajar mengambil sikap dan pendekatan baru.
Banyak permohonan dalam Model Ekonomi Baru nanti yang orang bank tidak tahu dan mungkin tidak pernah dengar. Adakah mereka akan menolak kerana mereka tidak biasa dengan sesuatu yang baru setiap kali dikemukakan?
Kalau sikap ahli bank begini berterusan, usaha untuk melangkah ke dunia Model Ekonomi Baru akan terbantut. Percayalah. Orientasi bank kita sekarang ialah “Apa cagaran awak? Tidak ada cagaran permohonan tidak akan dilayan.” Ekonomi berteraskan inovasi dan kreativiti meletakkan pengetahuan sebagai cagaran.
DATO’ SALLEH MAJID ialah mantan Pengurus Besar Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Comments

Popular Posts