Janji pulangan lumayan Ternak Kambing Johor

Janji pulangan lumayan


Osman Cheya Kutty, pembekal daging korban di Kampung Kangkar, Tebrau, Johor Bahru.


JOHOR BAHRU 16 Mac – Pertanian merupakan satu bidang yang cukup sinonim dengan Malaysia kerana ia merupakan antara penyumbang utama kepada perkembangan ekonomi negara.
Bidang penternakan khususnya mengalami fasa perubahan yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila kebanyakan usahawan di negara ini semakin rancak menjalankan kegiatan penternakan kambing kerana ia mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Ladang Kambing Osman yang terletak di pinggir bandar raya Johor Bahru begitu komited terhadap pengeluaran hasil daging dan tenusu yang segar serta berkualiti tinggi.
Penubuhan ladang tersebut pada peringkat awalnya bertujuan menyahut seruan kerajaan bagi membangunkan sektor pertanian dan penternakan sebagai enjin kedua penggerak ekonomi Malaysia.
Pemiliknya, Osman Cheya Kutty, 40, berkata, bidang penternakan kambing semakin diminati dan sememangnya menjanjikan pulangan lumayan kerana permintaan terhadap daging kambing semakin meningkat.
Katanya, permintaan terhadap daging kambing di kalangan masyarakat semakin bertambah dan setiap bulan Ladang Kambing Osman mampu menjual kira-kira 200 ekor kambing untuk pelbagai tujuan.
‘‘Jika dahulu, orang hanya akan membeli kambing setiap kali menjelang Hari Raya Aidiladha tetapi kini hampir setiap hari ada sahaja yang datang untuk membeli kambing untuk dibuat aqiqah,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di ladangnya di Kampung Kangkar, Tebrau di sini baru-baru ini.
Osman berkata, pihaknya turut menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk para pelanggan yang ingin membeli kambing di ladangnya termasuk urusan penyembelihan, melapah daging serta menyediakan perkhidmatan memasak daging berkenaan.
‘‘Kami menyediakan kemudahan pusat sehenti kepada para pelanggan supaya mereka tidak perlu bersusah payah untuk ke tempat lain bagi menyembelih kambing yang dibeli.
‘‘Ladang ini turut menyediakan perkhidmatan penghantaran secara percuma kepada para pelanggan yang membeli kambing di sini,’’ jelasnya.
Osman memberitahu, pemilihan baka kambing yang baik untuk tujuan pembiakan adalah amat penting bagi memastikan pengeluaran optimum dapat dihasilkan.
‘‘Antara baka-baka pedaging yang sering mendapat permintaan penternak di Malaysia ialah Jamnapari, Ettawah dan Boer. Manakala untuk pengeluaran susu, jenis Anglo Nubien, Saneen dan British Alpine sentiasa mendapat permintaan tinggi.
‘‘Kami di sini bersedia membekal baka- baka daripada pelbagai jenis pada harga yang amat berpatutan,’’ katanya.
Beliau berkata, adalah amat penting untuk memilih kambing yang mempunyai sifat-sifat yang dikehendaki seperti baka dan keturunan, bentuk badan dan kualiti pengeluaran daging haiwan itu.
‘‘Kebiasaannya baka kambing untuk tujuan pengeluaran daging mempunyai struktur badan yang padat jika dibandingkan dengan baka untuk pengeluaran susu kerana fizikalnya lebih besar berbanding kambing daging,” katanya.
Selain itu, katanya, pemakanan yang berkualiti merupakan aspek penting bagi memastikan haiwan ternakan membesar dengan cepat dan berada dalam keadaan sihat.
Menurutnya, rumput dan kekacang adalah bahan makanan penting bagi kambing dan lain-lain ternakan ruminan.
‘‘Rumput dan kekacang pada umur yang sesuai, bukan sahaja mempunyai nilai pemakanan dan zat yang penting, tetapi juga mempunyai bahan penting bagi mengeluarkan susu yang berlemak.

‘‘Kuantiti yang banyak di samping adanya gentian kasar dapat merangsang perut besar supaya menjadi lebih cekap bagi memastikan sistem penghadaman haiwan ternakan berada dalam keadaan terbaik,’’ jelasnya.

Comments

Popular Posts