Contohi industri halal Thailand

Contohi industri halal Thailand



THANA Duangratana (empat dari kiri) dan Dr. Abd. Latiff Awang (tiga dari kanan) bersama delegasi Malaysia yang menyertai Persidangan Antarabangsa Perniagaan, Industri dan Sains Halal Sedunia (Whasib) 2011 di Hat Yai, Thailand, baru-baru ini.


INDUSTRI halal dunia kini dianggarkan bernilai lebih AS$2 trilion setahun. Dengan jumlah yang sebegitu besar, ia sudah tentu dapat menghasilkan pulangan lumayan kepada mana-mana negara atau syarikat yang berkecimpung secara serius bagi menghasilkan produk berstatus sedemikian.
Menyedari hakikat itu, Thailand turut mengambil langkah agresif untuk memastikan produk yang dikeluarkan syarikat negara berkenaan adalah halal selaras dengan kedudukannya sebagai pengeksport produk makanan halal yang keenam terbesar di dunia dengan pendapatan sebanyak AS$5 bilion setahun.
Daripada 30,000 kilang mengeluarkan makanan halal yang terdapat di negara itu sekarang, sebanyak 8,000 telah mendapat sijil pengesahan halal.
Negara itu kini sedang meningkatkan bilangan syarikat yang mendapat sijil halal bagi memastikan ia mencapai sasaran menjadi negara pengeksport produk makanan halal ketiga terbesar di dunia selepas Brazil dan Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh beberapa tahun lagi.
Selain bagi membolehkan produk berkenaan dijual kepada 1.5 bilion umat Islam, kerajaan Thailand berharap barangan berstatus halal yang sentiasa diyakini sebagai produk yang bersih, berzat dan baik untuk kegunaan manusia akan menarik minat seluruh penduduk dunia yang berjumlah kira-kira tujuh bilion orang untuk menggunakannya.
Produk dan perkhidmatan halal yang sedang dipromosikan oleh negara itu bukan hanya terhad kepada makanan dan minuman sahaja, malah ia turut melibatkan kosmetik, ubat-ubatan, bahan kimia, barangan kulit, rawatan spa, perhotelan, hospital, perbankan dan takaful Islam.
Kesungguhan negara jiran itu terbukti apabila ia menubuhkan Pusat Sains Halal di Universiti Chulalongkorn (HSC-CU), Bangkok pada 1995 dan Institut Halal di Universiti Prince of Songkhla, beberapa tahun selepas itu.
Menurut Pengarah HSC-CU, Dr. Winai Dahlan, penubuhan pusat dan institut halal berkenaan telah membolehkan Thailand melakukan pelbagai inovasi baru termasuk menghasilkan sabun dan cecair pencuci daripada tanah liat untuk memudahkan proses menyamak.
Beliau berkata, pihaknya turut mencipta dapur khusus yang mempunyai zon penampan bagi mengasingkan antara produk halal dan haram yang telah digunakan secara meluas termasuk ketika Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.
"Pakar-pakar daripada kedua-dua universiti turut terlibat memberikan latihan kepada petugas Thai Airways dan kakitangan sektor perkilangan di negara ini mengenai kaedah betul bagi memastikan produk yang dihasilkan adalah halal," katanya.
Terbaru, jelas beliau, ia melibatkan penciptaan sistem logistik dan pengesahan halal menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dikenali dengan nama Shariah-Compliant ICT Logistics Control (SILK).
''SILK yang boleh diakses secara percuma menggunakan kemudahan Internet berkelajuan tinggi membolehkan syarikat di seluruh dunia membuat permohonan sijil halal. Bakal pembeli juga boleh menyemak status halal sesuatu barangan dengan pantas," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada Persidangan Antarabangsa Perniagaan, Industri dan Sains Halal Sedunia (Whasib) 2011 di Universiti Prince of Songkhla, Hat Yai pada 27 Julai lalu.
Persidangan sehari berkenaan telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan.
Bekas Menteri Luar Thailand yang beragama Islam itu dalam ucapan perasmiannya menyeru negara-negara Asia Tenggara supaya bekerjasama bagi memastikan sasaran menjadikan rantau itu pengeksport produk halal terbesar dunia tercapai.
Mengulas mengenai kesungguhan pihak Thailand itu, Naib Presiden 1, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Dr. Abd. Latiff Awang yang berkesempatan menjadi peserta Whasib 2011 berkata, selain peranan yang dimainkan oleh pihak universiti, kerajaan Thailand juga terlibat aktif dalam mempromosi industri halal.
Beliau berkata, perkara itu terbukti apabila ramai usahawan Malaysia termasuk 10 delegasi DPIM telah ditaja kerajaan negara itu untuk menyertai persidangan halal berkenaan dengan harapan akan terjalin kerjasama erat antara peniaga kedua-dua negara.
''Kita kagum kerana Duta Besar Thailand ke Malaysia, Thana Duangratana dan dua pegawai kanan daripada kedutaan berkenaan iaitu Makawadee Sumitmor dan Montri Nathananan turut meluangkan masa untuk mengiringi delegasi Malaysia," katanya.
Kekaguman yang diluahkan oleh Abd. Latiff memang berasas jika dilihat kesungguhan Duangratana, 60, yang sanggup turun padang untuk menjelajah wilayah yang mempunyai ramai penduduk Islam iaitu Songkhla dan Satun yang bersempadan dengan Kedah dan Perlis selama empat hari.
Selain menyertai Whasib 2011, delegasi yang turut disertai Setiausaha Agung DPIM, Mohammad Sahar Mat Din dan Penasihat Syariah KFC Holdings (Malaysia) Bhd., Mohd. Roslan Mohd. Saludin turut dibawa melawat Kawasan Perindustrian Wilayah Selatan di Wilayah Songkhla.
Duangratana yang bertindak sebagai penterjemah turut membawa rombongan berkenaan bertemu dengan Gabenor Satun, Dr. Sumeth Chailertvanitkul dan melawat ladang kambing yang diusahakan usahawan Muslim di wilayah berkenaan.
''Saya berharap diplomat Malaysia mencontohi rakan sejawatan mereka yang bukan beragama Islam yang sanggup turun ke bawah bagi membawa pelabur berpotensi untuk melabur dalam industri halal di negara berkenaan.
''Jika kita terus leka, tidak mustahil Malaysia akan ketinggalan dalam industri ini terutama jika pegawai atasan yang dilantik oleh kerajaan tidak bekerja bersungguh-sungguh," ujarnya.
Nasihat yang diberikan Abd. Latiff yang juga bekas Exco kerajaan negeri Terengganu memang kena pada masanya berikutan tidak ramai peneraju agensi yang berkecimpung dalam industri halal di Malaysia menghadiri Whasib 2011, sedangkan banyak inovasi baru yang dihasilkan Thailand yang boleh dicontohi mereka.

Comments

Popular Posts