Cacat tidak halang jadi usahawan berjaya

Cacat tidak halang jadi usahawan berjaya Link Asal

SHAH ALAM 9 Jan. - Kehilangan sebelah tangan akibat kemalangan tidak menghalang Mohammed Chin (gambar), 63, untuk menjadi usahawan berjaya sehingga terpilih sebagai pemenang Anugerah Usahawan Tunas Mekar 2008 bagi kategori lelaki.
Mohammed menerima anugerah tersebut daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada majlis Pelancaran Program Jaringan Tunas Mekar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Turut menerima anugerah ialah Aishah Mahmud, 60, bagi kategori usahawan wanita; Mohd. Pozi Hassan, 25, bagi kategori usahawan muda lelaki dan Noor Yuslizawati Md. Yunus, 28, bagi kategori usahawan muda wanita.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Datuk Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, Program Tunas Mekar yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu, berjaya mencapai hasil membanggakan apabila 82 peratus daripada 285 usahawan yang menyertainya melaporkan peningkatan prestasi perniagaan.

Program yang diilhamkan oleh Abdullah itu juga menunjukkan kejayaan apabila 50 peratus atau 140 daripada lulusan yang tamat daripada program itu telah memulakan perniagaan sendiri.

Beliau berkata, jumlah 50 peratus lulusan yang telah membuka perniagaan sendiri itu adalah tinggi. Katanya, kejayaan tersebut kerana program Tunas Mekar mudah dan praktikal serta dapat memberi faedah bukan sahaja kepada peniaga dan lulusan malah pensyarah UiTM yang menjadi kaunselor.

Menurutnya, para pensyarah yang terlibat juga dapat memperkayakan diri dengan pendedahan praktikal tentang permasalahan Industri Kecil Sederhana (IKS). Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Pelancaran Program Jaringan Tunas Mekar, Pusat Reka Bentuk Kebangsaan (NDC), Batik dan Songket MIM yang disempurnakan Perdana Menteri di UiTM di sini hari ini.

Program Tunas Mekar diwujudkan bagi memberi peluang kepada siswazah bumiputera menimba pengalaman dalam bidang keusahawanan dan perniagaan seterusnya menjadikan bidang tersebut sebagai kerjaya pilihan.
Ia juga bertujuan membantu usahawan IKS memajukan perniagaan melalui kaedah pengurusan dan teknologi moden serta meningkatkan hidup masyarakat luar bandar.

Comments

Popular Posts