Bertekad Jadi Penternak

Bertekad Jadi Penternak

Adatlah apabila kebanyakan individu yang berpendidikan akan mengimpikan jawatan tinggi tinggi dan bergaji besar. Peningkatan serta perubahan dan gaya hidup moden mereka turut menghakis budaya dan gaya hidup tradisional. Bagaimanapun, perubahan dan peningkatan tersebut tidak mengubah pegangan seorang penternak kambing berjaya, Azizuzanadi Zainuddin, 39 dari Kampung Hayat, Simpang Pelangai. Malah, pemegang Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan dari Northwood Universiti, Amerika Syarikat ini menganggap kelebihan itu sebagai satu aset bernilai untuk dipraktikkan.

Ternyata, prinsip tersebut berjaya membuktikan beliau mampu untuk lebih berjaya. Mengambil kira bidang pertanian yang sememangnya tidak asing bagi beliau kerana pernah menoreh getah semasa tinggal di kampung halaman sekali gus tidak mahu mensia-siakan pengalaman bekerja di negara luar, beliau bertekad untuk meneroka bidang pertanian.
Hari ini, hasil penat lelahnya berbayar dengan kejayaan Azizuzanadi menternak kira-kira 100 ekor kambing pelbagai spesies termasuk kambing biri-biri dan kambing Feral dari Australia, kambing Jamnapari dari Indonesia, kambing Katjang (baka kacukan tempatan dan Anglo Nubian) serta kambing Boer.

Menurut beliau, kos pembinaan kandang kambingnya mencecah RM90 ribu dan sebahagian besar wang diperoleh beliau daripada pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan Pelangai (PPKP). Beliau juga berusaha mempelbagaikan ternakannya dengan mengusahakan ternakan ikan keli di tanah berhampiran ladang kelapa sawit milik bapa saudaranya.

Azizuzanadi mengambil inisiatif mengikuti pelbagai kursus anjuran Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (Medec), Jabatan Perikanan dan Lembaga Pertubuhan Peladang. Malah, antara kursus yang pernah disertainya adalah kursus ternakan ikan dalam sangkar, kursus membuat makanan ternakan, kursus pembenihan ikan, kursus penyakit ternakan kambing dan kursus ternakan kambing peringkat ladang. Beliau mula menternak 100, 000 anak ikan keli yang dipeliharanya di tiga buah kolam batu termasuk sebuah kolam tanah untuk asuhan anak benih sehingga tahap matang.

Azizuzanadi turut menyimpan rancangan besar untuk menjadikan Simpang Pelangai sebagai pusat ternakan dan pengeluar kambing utama di Negeri Pahang. Beliau yang juga pemilik ladang ternakan kambing biri-biri di Jelebu, Negeri Sembilan ini juga mengorak langkah menambah baka kambing yang berkualiti. Mengakui usahanya selama ini mendapat sokongan kuat daripada isteri tercinta, beliau amat bersyukur kerana memiliki ahli keluarga yang begitu memahami dan banyak membantu. Azizuzanadi juga tidak kisah untuk melakukan kerja daripada semua peringkat memandangkan pengalamannya beliau yang pernah bekerja di sebuah restoran piza bermula sebagai pencuci pinggan sehingga kemudiannya diberi kepercayaan menjadi pengurus. (Kemas Kini: 31 Disember 2009)

Comments

Popular Posts