PERBEZAAN QURBAN DAN AQIQAH.

Assalamualaikum Wrmbth,

Artikel ini saya petik dari SINI http://mytajididyouth.wordpress.com/ibadah/

PERBEZAAN QURBAN DAN AQIQAH.


1) Definisi dari sudut syarak

Qurban: Ialah sembelihan binatang an’am pada hari Nahar dan hari Tasyriq untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Aqiqah: Ialah sembelihan binatang an’am sempena kelahiran anak sebagai tanda bersyukur kepada Allah.

2) Hukum

Kedua-duanya sunat muakkad dan wajib jika dinazarkan.

Qurban: Sunat kifayah bagi satu keluarga. Memadai seorang sahaja yang berqurban bagi seisi rumah.

Aqiqah: Sunat atas wali (bapa) mengaqiqahkan anakyang baru lahir hingga umur baligh. Setelah baligh sunat atas diri sendiri. Sah juga wali atau penjaga mengaqiqahkan anak yang sudah baligh.

3) Masa / tempoh

Qurban: Setiap tahun dari terbit matahari 10 zulhijjah (hari Nahar) hingga tenggelam matahari 13 Zulhijjah (hari Tasyriq).

Aqiqah: Bila-bila masa selagi belum dibuat aqiqah.



4) Kekerapan

Qurban: Boleh setiap tahun bagi setiap orang.

Aqiqah: Hanya sekali selagi belum beraqiqah kecuali aqiqah yang sebelumnya tidah sah kerana tidak menepati syarat seperti binatang an’am itu cacat yang aib.



5) Pembahagian

Qurban: Sunat dibahagikan daging mentah dengan nisbah 1/3 untuk tuan 1/3 untuk sedekah kepada fakir miskin dan 1/3 hadiah atau 2/3 sedekah kepada fakir miskin.

Aqiqah: Sunat dimasak dahulu dan sunat dilebihkan manis semoga manis akhlak anak itu. (Tulang binatang aqiqah sunat tidak dipatah-patahkan sempena mengharapkan anak itu tidak cacat).



6) Jika dinazarkan

Qurban: Tidak harus tuannya mengambil walaupun sedikit. Wajib disedekah dan hadiah semuanya.

Aqiqah: Boleh diambil oleh tuannya (kerana hendak dimasak dan diberi makan kepada orang).



Hukum aqiqah : Sunat (Muakkadah – sangat dituntut).

Dalilnya :

1) Riwayat An-Nasai dari Buraidah dan Ibnu Abbas r.a.; “Rasulullah S.A.W.mengaqiqah Hasan dan Hussain, masing-masing seekor kibas” (Al-Majmuk, 8:426,428).

2) Riwayat, Abu Daud, At-Tirmizi, An-Nasai, Ibnu Majah dari Ummi Karz katanya: “Aku bertanya Rasulullah S.A.W.mengenai aqiqah”. Jawab baginda: “Untuk anak lelaki dua ekor kambing dan untuk anak perempuan seekor” (Al-Majmuk, 8:426).

Kata Buraidah bin Al-Hasib بـريدة بن الحصيب, Hassan Al-Basri, Abu Az-Zannad, Daud Az-Zohiri, hukum aqiqah adalah wajib.

Kata Imam Abu Hanifah Aqiqah itu wajib tidak sunat pun tidak tatapi bid’ah.

Al-Imam As-syafi’i membuat ulasan terhadap kedua-dua pendapat ini katanya: “Ada Pendapat yang melampau mengenai aqiqah, satu mengatakan wajib dan satu lagi mengatakan bid’ah”. (Al-Majmuk, 8:447).

Waktu / Umur anak : Sunat pada hari ke tujuh.

Dalilnya : Riwayat Al-Baihaqi dari Aisyah r.a. : ” Rasulullah S.A.W. mengaqiqahkan Hassan dan Hussain pada hari ke tujuh, memberi nama kedua-duanya dan membuang kotoran dari kepala mereka (mencukur rambut mereka)”. (Al-Majmuk, 8:427).

* Jika tidak dapat pada hari ketujuh, tunda pada hari ketujuh berikutnya iaitu hari keempat belas.

* Jika tidak dapat hari keempat belas, tunda pula tujuh hari kemudian iaitu hari kedua puluh satu.

(Ini adalah waktu pilihan. Begitulah seterusnya ditunda seminggu seminggu) Ada yang mengatakan waktu pilihan hanya setakat dua puluh satu hari sahaja). (Al-Majmuk, 8:431).

* (Jika lebih dari itu dapat pahala aqiqah tetapi terlepas pahala memilih hari yang afdal).

Comments

Popular Posts