Ubah Nasib Dengan Berusaha

Rakyat miskin digalak berdikari
Oleh Abdul Razak Raaff, Rosli Abdul Jalil dan Irwan Shafrizan Ismail
bhnews@bharian.com.my
2010/07/17

JOHARI Sidek bersama isteri, Natikah Yaakob  dan anaknya, Nor Najiha, 4,     antara   60 keluarga miskin yang terpilih menjadi warga Komuniti Perumahan Bersepadu Bukit Kenau yang  dirasmikan   Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak di Pulau Manis, Pekan.
JOHARI Sidek bersama isteri, Natikah Yaakob dan anaknya, Nor Najiha, 4, antara 60 keluarga miskin yang terpilih menjadi warga Komuniti Perumahan Bersepadu Bukit Kenau yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak di Pulau Manis, Pekan.
Syarikat korporat bantu penduduk tambah nilai hasil ekonomi, pasaran

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan tidak hanya terhad dengan memberi sumbangan kebajikan kepada rakyat miskin tetapi turut membantu mereka menerusi konsep berdikari.
Perdana Menteri berkata, golongan miskin akan diberi galakan untuk turut sama terbabit dalam projek yang mampu membantu meningkatkan taraf hidup mereka tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.
"Rakyat miskin perlu ada kesungguhan yang kuat untuk merubah kehidupan mereka... walaupun kita miskin tiada harta tapi janganlah kita miskin jiwa," katanya ketika merasmikan Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu Bukit Kenau, di Pulau Manis, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Koperasi negeri, Datuk Ishak Muhamad dan Pengerusi Affin Bank Berhad, Tan Sri Ismail Omar.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, konsep berdikari terbabit diaplikasikan menerusi projek Perumahan Bersepadu Bukit Kenau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis membabitkan 60 keluarga miskin dipilih menerusi senarai penerima zakat Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MAIP).

"Penduduk bukan saja dapat tinggal di kawasan baru dengan rumah yang lengkap dengan perabot serta keperluan asas malah dilengkapkan dengan pelbagai peluang aktiviti ekonomi seperti akuakultur, ternakan kambing, tanaman secara fertigasi, gerai makanan dan kedai runcit," katanya.
Beliau berkata, menerusi projek perintis itu beberapa syarikat korporat diterajui Affin Bank dan Iris Corporation Berhad bertindak membina rumah peserta selain menyumbang kepada pembinaan kemudahan asas yang lain termasuk jalan, dewan serba guna dan surau.

"Malah syarikat korporat ini akan membantu penduduk menambah nilai kepada hasil ekonomi yang diusahakan serta memasarkannya.

"Prinsip dilakukan juga mengikut syariat Islam yang mana syarikat yang mendapat keuntungan membayar zakat dan zakat diberikan kepada golongan asnaf yang layak menerimanya," katanya.

Pada majlis terbabit, Najib turut mengumumkan kesediaan kerajaan negeri meluluskan penambahan lapan hektar tanah berhampiran perumahan terbabit bagi membolehkan peserta terbabit dalam aktiviti pertanian dan ternakan.

Comments

Popular Posts