Sijil Halal Bagi Usahawan Islam Ternak Kambing

Assalamu'alaikum Wrmbth,

Artikel dibawah ini adalah gesaan kepada semua usahawan islam untuk memohon dan mempelopori industri halal.

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Pemegang sijil halal di kalangan usahawan Islam di negara ini masih rendah kerana mentaliti mereka yang tidak melihat keperluan mendapatkan sijil tersebut, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim. Beliau berkata sebaliknya usahawan Islam perlu mendapatkan sijil halal bagi meningkatkan kepercayaan pengguna tentang status produk mereka dan juga dapat dikomersialkan ke peringkat antarabangsa. Katanya sebahagian besar sijil halal di negara ini dimiliki oleh usahawan bukan Islam. "Sebanyak 70 peratus yang mendapat sijil halal adalah dari kalangan usahawan bukan Islam. Ini mungkin juga berpunca daripada mentaliti usahawan Islam yang beranggapan kalau sudah Islam, mereka tidak perlu lagi mendapatkan sijil halal. "Mereka ini perlu melihat ke depan, jika produk mereka ada sijil halal Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), ia boleh dikomersialkan ke peringkat antarabangsa kerana logo halal itu diterima di seluruh dunia," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil kursus Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) kepada 82 pelatih IKB di sini Selasa. Mashitah mengulas mengenai laporan bahawa 50,000 restoran di negara ini mempamerkan sijil halal palsu dan hanya 170 dapur di lebih 2,000 hotel mempunyai sijil halal. -- BERNAMA

Comments

Popular Posts