Penternakan Kambing

Golongan belia diajak ternak kambing LINK ASAL
ARKIB : 19/03/2011
ternak kambing
Mohd. Yaman Mohammad (kanan) melihat perkembangan penternakan diusahakan Mohamad Nasrul (tengah) di Kampung Rasal, Pasir
PASIR MAS 18 Mac - Menyedari potensi dalam bidang pertanian dan penternakan yang semakin berkembang pesat, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kangkong di sini mengajak golongan belia menceburi bidang tersebut secara serius.
Pengerusinya, Mohd. Yaman Mohammad berkata, bidang penternakan bukan sahaja memberi pulangan tinggi tetapi dalam masa sama membantu meningkatkan pendapatan keluarga penternak sekali gus mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.
"Setakat ini, kita sudah mempunyai hampir 10 penternak di sini yang menceburi bidang ini manakala untuk seluruh negeri seramai 500 penternak mengusahakan projek yang sama.
''Kebanyakan peserta sebelum ini menghadapi masalah kewangan kerana pendapatan melalui kerja-kerja yang dilakukan sebelum ini tidak seimbang dengan imbuhan, namun selepas menyertai projek penternakan masalah itu hampir selesai," katanya ketika ditemui di Kampung Rasal di sini semalam.
Mohd. Yaman menambah, berdasarkan maklumat, penternak lebih berminat membela kambing daripada jenis Boer dan Jamnapari bagi menghasilkan baka induk dan kambing kacukan.
Bagaimanapun, pada masa akan datang pihaknya akan mempelbagaikan jenis kambing dengan mengimport kambing jenis Saanen dari Cyprus untuk diperkenalkan kepada penternak sebagai baka baru yang boleh menghasilkan pendapatan lebih kepada mereka.
"Kambing Saanen dipilih kerana ia mampu memberi dua kelebihan iaitu daging dan tenusu. Melalui kaedah tersebut penternak dapat mempelbagaikan lagi hasil tani yang diperoleh selama ini," katanya.
Sementara itu, seorang penternak yang ditemui Mohammad Nurul Asmawi Mahmood, 29, berkata, dia memulakan projek berkenaan sejak tahun 2008.
Katanya, ketika memulakan projek dia hanya bermodalkan RM20,000 yang dijadikan sebagai modal pusingan.
"Syukurlah, hasil yang saya perolehi hari ini cukup lumayan sejak projek ternakan kambing saya mulakan empat tahun lalu. Sebagai persediaan, saya mengikuti kursus mengenai penternakan daripada Jabatan Veterinar Jajahan Pasir Mas,'' jelasnya.

Comments

Popular Posts