Majlis Fellow dibentuk bantu usahawan Melayu

Majlis Fellow dibentuk bantu usahawan Melayu

LINK ASAL ARTIKEL

KUALA LUMPUR 29 Feb. - Sebuah Majlis Fellow yang dianggotai seramai 10 tokoh korporat ternama tempatan telah dibentuk oleh Dewan Perniagaan Melayu Kuala Lumpur (DPMKL) untuk membantu usahawan sedia ada.
Majlis itu akan memberikan panduan dan nasihat kepada para usahawan sedia ada tentang cabaran dan pahit getir bidang keusahawanan yang sebenarnya, kata Yang Dipertua DPMKL, Datuk Syed Amin Al-Jeffri.
Beliau berkata antara yang menganggotainya ialah Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Tan Sri Tajuddin Ramli, Tan Sri Mohd. Salleh Sulong dan Tan Sri Dr. Abdul Aziz Zain.
Tokoh korporat lain ialah Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar, Tan Sri Azman Hashim, Tan Sri Ir. Shamsudin Abdul Kadir, Tan Sri Syed Mokhtar Al- Bukhary dan Tan Sri Halim Mohamad.
``Dengan pengalaman yang mereka ada sekurang-kurangnya ia dapat membantu usahawan hari ini bersaing selain memperoleh strategi tambahan untuk mengukuhkan perniagaan masing-masing.
``Semua yang kita lakukan ini merupakan hasrat DPMKL untuk membantu meningkatkan imej dan prestasi usahawan Bumiputera agar lebih digeruni dan dikagumi ramai,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Syed Amin berkata, selain Majlis Fellow, DPMKL juga telah menubuhkan Majlis Ekonomi Melayu Malaysia (MEMM) yang menghimpunkan persatuan-persatuan ikhtisas Melayu untuk bernaung di bawahnya.
Menurut beliau, penubuhan MEMM diharap dapat menjadi landasan untuk para usahawan Melayu menyuarakan masalah masing-masing untuk dibincangkan sebelum diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Selain itu, ia juga dijangka dapat membantu usahawan Melayu menetapkan arah tuju dan perjuangan dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar, kata Syed Amin.
``Dengan ini, kita (semua usahawan Melayu) dapat berkumpul, berbincang dan mengeluarkan buah fikiran masing-masing untuk faedah semua ahli.
``Ia juga dilihat sebagai titik permulaan untuk mengelakkan berlaku percanggahan hujah sesama usahawan yang menyumbang kepada perpecahan.
``Antara lain, dengan adanya MEMM, kita mahu ia menjadi satu pusat yang dapat menghimpunkan suara usahawan Melayu dan berhujah bersama-sama yang mana selama ini kita terlalu diwakili oleh banyak persatuan untuk diketengahkan dan ditangani dengan lebih toleransi,'' katanya.
Syed Amin berkata, sehingga kini, lebih 40 persatuan usahawan Melayu telah menjadi ahli MEMM antaranya Persatuan Pemandu Teksi Melayu, Persatuan Peguam-peguam Melayu Malaysia dan Persatuan Pengusaha Bengkel Melayu.
Ujar beliau lagi, apa yang dilakukan pihaknya kini adalah sebahagian daripada usaha peringkat pertama untuk menyatukan semua usahawan Ikhtisas yang akan menentukan kejayaan dewan di masa akan datang.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk mengetengahkan idea tersebut di peringkat pusat dalam usaha memastikan semua usahawan Melayu dapat bernaung di bawah satu organisasi yang sama.
Dengan usaha yang dijalankan ini, katanya bilangan keahlian DPMM yang pada masa ini mencecah ke angka 10,000 orang dijangka akan bertambah ke satu jumlah yang lebih besar.

Comments

Popular Posts