Apabila MUDAH menjadi SUSAH

Assalamu'alaikum Wrmbth,

Pada permulaan kami menternak kambing, pelbagai cara iklan kami lakukan untuk menjana aliran tunai yang positif. Pemasaran internet, sepanduk, flyer, emel dan macam-macam lagi inyaallah kami pernah cuba.

Pada fasa tersebut, antara medium pemasaran yang paling menggalakkan bagi kami adalah melalui mudah.my. Persaingan antara pembekal kambing dimudah memang ada tetapi setelah masa berlalu, kami terfikir apa akan jadi pada perniagaan kambing jika semua promosi hanya bergantung pada medium tersebut. Peluang yang diberikan oleh mudah.my amat dihargai.

Hasilnya, lahirlah laman blog kambinghalal.blogspot.com yang serba kekurangan ini. Memang sukar untuk menaikkan blog ini di enjin carian tetapi itulah realitinya jika kita terlalu manja sampai masanya tentu tersungkur.

Mudah.my percuma semasa kami menggunakannya tetapi kini sudah wujud khidmat berbayar bagi mendapatkan kelebihan kedudukan. Ini adil bagi mereka kerana mengeluarkan modal yang banyak bagi membangunkan dan mempromosi laman tersebut tetapi survival bisnes memerlukan kita menerokai jalan yang sukar supaya lebih berdikari dan tidak terikat pada satu sumber sahaja.

Ini boleh diibaratkan seperti pilihan memberi seorang pengemis ikan atau mengajarnya memancing. Jika kita memberinya, esok sudah tentu akan datang meminta ikan lagi tetapi jika kita mengajarnya memancing insyaallah dia akan mampu berdikari.

Comments

Popular Posts