Bukan semua produk logo halal adalah halal

Bukan semua produk logo halal adalah halal

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Pengguna Islam perlu lebih prihatin semasa memilih produk makanan, minuman dan barangan kegunaan harian lain kerana bukan semua produk yang memiliki logo halal berada di bawah pemantauan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Zainal Abidin Jaffar berkata, bidang kuasa jabatan itu selaku pengeluar pengurusan pensijilan halal hanya terhad dalam usaha memantau aktiviti para pemegang sijil pengesahan halal Malaysia.

“Ini sekali gus menjelaskan peranan Jakim hanya terbatas kepada pemegang sijil halal yang sah sahaja.

“Manakala bagi produk yang tidak berdaftar dan didapati menggunakan logo halal palsu atau ‘ciplak’, penguatkuasaannya hanya boleh dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerusi Akta Perihal Dagangan (APD) 1972,” katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Menurut Zainal Abidin, isu penyalahgunaan dan pemalsuan logo halal di negara ini bukan perkara baru dan berharap pengguna akan lebih prihatin dalam memahami dan menangani perkara ini.

“Sekiranya pengguna berasa ragu dengan kesahihan sesuatu logo halal, sebaiknya hindarilah daripada membeli produk tersebut.

“Pengguna juga boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan agar siasatan dapat dilakukan serta-merta bagi memastikan logo halal hanya digunakan oleh produk atau pemegang sijil pengesahan halal,” katanya.

Tegas Zainal Abidin, satu bentuk penguatkuasaan amat diperlukan pada masa ini bagi mengawal pemalsuan logo halal dan pengeluaran sijil halal oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Segala persoalan hanya boleh dirungkai dengan penggubalan Akta Halal dan saya berharap ia dapat direalisasikan secepat mungkin bagi membantu menghilangkan segala kekeliruan pengguna Islam berhubung isu halal-haram dan sekali gus membela nasib mereka daripada terus dikhianati,” katanya.

Comments

Popular Posts